E-BERITA RASMI KEDAH FA: HIJAUKUNING 3SIXTY (76) Selasa, 19.2.2013
Wartawan: Bashah Zainol Abidin
Foto/Grafik: Tajul Arifin Kamal Baharin
KHYRIL MUHYMEEN TERUJA DENGAN JARINGAN GOL KEMENANGAN

"Siapa tidak gembira dan teruja apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pasukannya bagi memastikan tiga mata penuh milik kita dan sekaligus memperbaiki kedudukan kami pada tangga Liga Premier," inilah kata-kata yang diluahkan oleh penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri sejurus tamat perlawanan Pasukan Hijau Kuning bertemu KL SPA FC di Stadium UiTM Shah Alam semalam.
Menurutnya, dia begitu kecewa dan hampa ketika Kedah kecundang kepada pasukan Perlis Jumaat lalu dan dia tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut setelah mengalami kecederaan pada kaki kanannya ketika beraksi bersama pasukan Malaysia pada kelayakan Piala Asia di Doha, Qatar.
"Saya begitu kecewa ketika di kalahkan oleh Perlis Jumaat lalu tetapi apakan daya kerana kecederaan pada kaki kanan memaksa ketua jurulatih Mario Tot mengenepikan saya. Saya memang geram ketika menjadi penonton Jumaat lalu dan jaringan gol pada perlawanan semalam pasti menjadi penawar untuk diri saya dan juga ribuan peminat setia Pasukan Hijau Kuning.
"Saya mengetahui saya sepatutnya menjaringkan gol pada separuh masa pertama pada perlawanan tadi, kerana saya lewat sesaat sahaja pemain pertahanan lawan berjaya mencuri bola dari kaki saya untuk menyelamatkan pasukannya dari ketinggalan.
"Kami telah membuktikan kesungguhan kami untuk meraih kemenangan kerana ketika ketinggalan satu gol kami masih bertekad untuk mencari gol penyamaan dan seterusnya mendapatkan gol kemenangan. Kejayaan menjaringkan gol yang memastikan tiga mata penuh milik kita bererti kita juga berjaya menyejukkan hati peminat yang kecewa Jumaat lalu di Stadium Darulaman.
Katanya, kejayaan Kedah mengutip mata penuh adalah kesungguhan dari kesemua pemain beraksi di Stadium UiTM Shah Alam, tanpa kesungguhan dan usaha yang tidak kenal penat lelah, tidak mungkin mereka mampu membawa pulang tiga mata penuh dari Shah Alam.
"Ketika bertolak ke Shah Alam, Tot yang tidak dapat bersama sedikit melunturkan semangat kami tetapi kehadirannya semula pada hari perlawanan berjaya membakar semangat kami untuk bermain mati-matian kerana lawan kita juga berhasrat untuk mengutip mata penuh pada perlawanan semalam.
"Padang licin setelah hujan turun sejurus selepas pelawanan di mulakan juga turut tidak membantu segala usaha kami tetapi Alhamdulillah semalam kami berjaya merobek gawang lawan sebanyak dua kali walaupun terpaksa beraksi tanpa kehadiran penyerang import dari Brazil Chayene Santos yang terpaksa menjalani hukuman gantung satu perlawanan setelah menerima tiga kad kuning.
"InsyaAllah kini matlamat utama kami ialah meraih kemenangan mengatasi KL Sime Darby FC Jumaat ini di Stadium Darulaman kerana kejayaan ini bererti kami akan memintas mereka pada kedudukan tangga liga dan mengukuhkan hasrat kita untuk menjuarai Liga Premier musim ini. Kesemua pemain mengerti betapa pentingnya kejayaan pada perlawanan Jumaat ini bukan sahaja untuk diri kami malah bagi ribuan pengikut setia Pasukan Hijau Kuning dan juga pihak pengurusan," kata Khyril.
END.
#iamhijaukuning
© Media KFA
Sumber: Unit Media KFA